Pada dalam kalangan murid-murid. Sekiranya guru gagal berbuat

Pada masa kini, dunia
pendidikan sering menjadi isu utama tidak kira sama ada dari segi pendidiknya,
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan, ganjaran dan kenaikan
pangkat ataupun isu-isu semasa yang sering membabitkan diri pendidik
tersebut. Tekanan terhadap guru
memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru tersebut berada dalam keadaan
murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan.  Seperti yang kita semua sedia maklum, tanggungjawab guru diibaratkan ‘lilin yang membakar diri’
bukan sahaja dalam kalangan masyarakat kita tetapi juga di negara-negara lain.
Hal ini adalah kerana tugas seseorang guru adalah berlambak-lambak dan amat
berat terutamanya terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang
guru dalam mengharungi era globalisasi ini. Saban hari, guru terpaksa
menghadapi pelbagai rintangan seperti beban kerja, harapan ibu bapa, tuduhan
masyarakat dan karenah murid.

Menurut Frank
dan Diana (2013) emosi ialah satu set kompleks psikologi dan badan yang
melibatkan perasaan, tindak balas tingkah laku dan pemikiran.  Seseorang itu dikatakan mengalami gangguan
emosi jika keadaan emosi yang dialaminya menimbulkan gangguan kepada dirinya
(Noriati, Boon, Sharifah dan Zuraidah, 2010). Antara bentuk gangguan emosi yang
dihadapi oleh murid ialah tahap kerisauan yang tinggi, mengasingkan diri serta kemurungan.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan emosi dalam
kalangan kanak-kanak (Terri Mauro,2004). Misalnya, masalah ketidakfungsian
otak, masalah keluarga, kemahiran sosial yang rendah, tahap keyakinan yang
rendah, pengaruh persekitaran dan rakan sebaya. Lantaran itu, guru perlu mengetahui
serta memahami keperluan murid – muridnya bagi menangani masalah gangguan emosi
dalam kalangan murid-murid. Sekiranya guru gagal berbuat sedemikian, dikhuatiri
akan membawa kepada implikasi yang negatif.

Antara langkah-langkah
intervensi yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah gangguan emosi dalam
kalangan guru ialah menggalakkan guru membuat kerja mengikut perancangan.
Pertama sekali, guru perlulah menyenaraikan tugas- tugas yang perlu
dilaksanakan mengikut keutamaan dan juga menentukan tarikh tugas tersebut dapat
disiapkan. Dengan begitu, guru dapat melaksanakan tugas tersebut sebelum tarikh
yang ditetapkan kerana adanya perancangan. Apabila guru menyiapkan sesuatu
tugas dengan sedikit demi sedikit beliau akan mencapai matlamat tugas dan boleh
melaksanakan tugas- tugas peribadi tanpa halangan di samping mengurangkan
tekanan kerja yang dihadapi (Noriati, Boon, Sharifah dan Zuraidah, 2010).

Selain itu, guru perlu sedar
bahawa setiap tugasan yang diberikan perlu disiapkan dalam tempoh masa yang
ditetapkan dan menetapkannya sebagai matlamat utama mereka. Apabila guru
menangguh sesuatu kerja lama- kelamaan kerja tersebut akan menjadi banyak serta
menjadi beban kepada guru tersebut. Guru perlulah mengawal fikiran mereka dan menumpukan
sepenuh perhatian dalam menyelesaikan sesuatu kerja tanpa ditangguh. Seseorang
guru itu perlu mempunyai displin diri supaya tugas- tugas mereka dapat
disiapkan dengan segera. Antara perkara paling penting yang tidak boleh
ditangguhkan bagi seseorang guru ialah penulisan rancangan pengajaran harian
dan persediaan bahan bantu mengajar.

Tambahan lagi, guru perlu
mempelajari untuk menghargai waktu dan meluangkannya sesuatu yang berfaedah.
Tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru juga memerlukan rehat selepas penat
seharian mengajar anak murid mereka. Akan tetapi mereka perlu bijak untuk
mencari masa untuk membuat kerja-kerja mereka tanpa ditangguh. Contohnya, jika
seseorang guru itu mempunyai rehat selama 1 jam, beliau boleh berehat untuk 30
minit dan kembali meneruskan kerjanya dengan minda yang tenang. Guru juga boleh
mendengar muzik supaya tidak mengalami tekanan akibat daripada beban tugas.
Guru juga mestilah cekap dalam penggunaan gajet- gajet teknologi kini untuk
membuat kerja sekolah mereka. Dengan adanya, gajet sebegini beban kerja guru
dapat dikurangkan. Misalnya, apabila seseorang guru dikehendaki menghadiri
kursus dan masih ada tugas untuk diselesaikan, guru boleh membuatnya melalui
telefon bimbit, Ipad dan sebagainya. Dengan ini, guru tidak perlu membawa
komputer riba dan berasa tertekan untuk mencari tempat mengecas bateri
komputer. Guru yang profesional perlulah sentiasa bijak dalam melaksanakan apa
jua tugas yang diberikan.

Seterusnya guru juga perlu
menguasai kemahiran berkomunikasi untuk menangani masalah gangguan emosi dalam
kalangan guru. Jika guru berupaya berkomunikasi dengan baik dan berkesan, maka
mereka dapat mencari jalan untuk meluahkan buah fikiran dan emosi mereka
(Noriati, Boon, Sharifah dan Zuraidah, 2010). Mereka juga dapat memahami reaksi
yang diberikan. Maka, dengan cara ini seseorang guru itu dapat mengendalikan
masalah dan tekanan emosi dengan lebih berkesan. Oleh itu, sebagai seorang
guru, kita perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan sejawatnya agar
dapat meluahkan isi hati kita kepada mereka.

Di samping itu, seseorang guru
yang mempunyai tujuan hidup lazimnya berupaya mengendalikan tekanan atau stres
dengan baik. Maka, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan
salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan stres
akibat bebanan kerja kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi
pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Guru yang melibatkan diri dalam
hal-hal kerohanian seperti yoga akan bersifat lebih tenang dan mempunyai emosi
yang mantap serta optimistik dalam kehidupan (Noriati, Boon, Sharifah dan
Zuraidah, 2010).  Pihak sekolah boleh
mengadakan program-program yang berunsurkan kerohanian dan keagamaan di sekolah
untuk menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan guru malah murid-murid
juga.

Antara langkah intervensi yang
boleh dilaksanakan untuk menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan murid
ialah guru perlu mengenal pasti murid-murid yang bermasalah dan membantu
mereka. Sekiranya terdapat murid yang mempunyai masalah peribadi seperti
bersifat pendiam, penakut, pemalu, guru seharusnya mengadakan sesi kaunseling
untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya. Selepas itu, guru
menggalakkan mereka menyertai dalam aktiviti pembelajaran bersama murid-murid
yang lain. Guru harus juga mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat
menerima murid-murid yang bermasalah dalam kumpulan mereka dan tidak
menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat mengelakkan murid
yang mengalami gangguan emosi untuk berasa tidak terpinggir dalam kelas.

Di samping itu, guru boleh
juga melibatkan ibu bapa semasa sesi kaunseling atau sesi perbincangan jika
perlu. Kadang-kala guru memerlukan kerjasama daripada ibu bapa untuk membantu
murid-murid yang mengalami gangguan emosi (Noriati, Boon, Sharifah dan
Zuraidah, 2010). Ibu bapa murid-murid ini perlu diberi maklumat mengenai
anak-anak mereka iaitu masalah yang dihadapi. Perbincangan perlu dibuat dari
semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan murid-murid dari segi emosi
mereka. Contohnya, ibu bapa boleh mengawasi anak-anak mereka di rumah kerana
seseorang guru tidak mungkin dapat memerhatikan gelagat anak muridnya 24 jam
sehari. Dalam hal-hal sebegini kerjasama daripada ibu bapa amatlah diperlukan
oleh seseorang guru.

Seterusnya, murid-murid yang
mengalami gangguan emosi perlu diberi bimbingan kerjaya (Noriati, Boon,
Sharifah dan Zuraidah, 2010). Dengan ini, mereka akan meningkatkan konsep
kendiri yang yang lebih positif. Murid-murid akan berupaya menangani masalah
yang  dihadapi oleh mereka dengan lebih
yakin dan positif. Mereka tidak akan mudah putus asa dan murung yang akan
membawa kepada gangguan emosi dalam diri mereka. Pihak unit bimbingan
kaunseling boleh melaksanakan program bimbingan kerjaya serta menganjurkan
program-program yang berbentuk pendidikan sebagai tindakan sokongan dalam
pembentukan tingkahlaku. Program-program ini bertujuan membantu mereka yang
mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik,
membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkah laku
dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid. 

Tambahan lagi, seseorang guru perlu bijak
dalam pengurusan bilik darjah terutamanya jika ada murid dengan masalah
gangguan emosi dalam kelasnya (Noriati, Boon, Sharifah dan Zuraidah, 2010). Antara aspek pengurusan bilik darjah yang dimaksudkan
ialah pemilihan aktiviti PdP. Guru haruslah
mewujudkan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi di antara satu sama
lain. Oleh itu, guru harus berikhtiar dalam merancang dan menguruskan banyak
aktiviti kumpulan untuk membolehkan murid-murid menjalankan aktiviti pengayaan,
aktiviti pemulihan, lakonan, sesi permainan pertandingan atau kerja projek. Hal
ini adalah kerana aktiviti-aktiviti sebegini dapat merangsang murid untuk
menampil diri kehadapan bagi menyiapkannya serta mereka tidak akan berasa diri
mereka dipinggirkan. Aktiviti-aktiviti ini juga boleh menggalakkan murid untuk
menujukkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Tidak dapat dinafikan
bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dapat membantu guru
dalam menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan murid-murid.

Selain itu, murid
hendaklah didedahkan dengan teknik-teknik meningkatkan kecerdasan emosi seperti
yang disarankan oleh Noriati,
Boon, Sharifah dan Zuraidah (2010). Menurut Mayer dan Salovey, kecerdasan emosi adalah sejenis
kecerdasan sosial yang melibatkan kebolehan untuk mengawasi diri sendiri dan
juga orang lain serta boleh membezakan diri dengan orang lain. Individu yang
memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh
mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai
matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan
persahabatan dengan orang lain. Manakala, individu yang memiliki tahap
kecerdasan emosi yang rendah pula akan bertindak mengikut perasaan tanpa
memikirkan akibatnya dan mempunyai matlamat hidup yang kurang jelas. Selain itu
juga, individu tersebut kurang mahir mengurus perasaan negatif serta kurang
mahir dalam menjalinkan persahabatan dengan orang lain. Dengan meningkatkan
kecerdasan emosi yang ada pada seseorang murid, dia akan mampu mengatasi
masalah yang dialami dan seterusnya menangani masalah gangguan emosi yang
dihadapi.

Seterusnya, guru juga
berperanan menekankan nilai-nilai murni sewaktu PdP. Penerapan nilai-nilai
murni boleh dilaksanakan oleh guru ketika memberi penekanan terhadap aspek
kewujudan hubungan interpersonal dan sosial dalam kalangan murid (Noriati, Boon, Sharifah dan Zuraidah,
2010). Nilai-nilai seperti ini perlu
diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas.
Guru seharusnya memberikan nasihat dan bimbingan yang sewajarnya terhadap
proses interaksi sosial yang melibatkan murid semasa aktiviti pembelajaran di
samping memberikan layanan yang sama terhadap semua murid tanpa mengambil kira
perbezaan yang wujud. Maka dengan ini, emosi murid-murid tidak akan terganggu
dan apabila emosinya terkawal maka kedua-dua pihak iaitu guru dan murid
berpeluang berbual-bual tentang perasaan mereka dan sekaligus memudahkan lagi
penerimaan terhadap proses pembelajaran yang dilaksanakan. Sekiranya murid
tersebut mempunyai masalah, dia akan berkongsi secara terbuka dengan guru yang
memberi peluang kepada guru untuk menyelesaikan masalah tersebut. Oleh hal yang
sedemikian, penerapan nilai oleh guru secara tidak langsung dapat menangani
masalah gangguan emosi dalam kalangan murid-murid.

Selain guru, pihak unit
bimbingan dan kaunseling perlu memainkan peranan yang signifikan dalam
menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan murid. Unit Bimbingan dan
Kaunseling sekolah boleh menganjurkan program-program yang berbentuk pendidikan
sebagai tindakan sokongan dalam pembentukan tingkah laku. Program-program ini juga
dapat membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi dalam meningkatkan
pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran
dalam mengawal tingkah laku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid.
Mengikut Albert Bandura,
murid haruslah bersifat self-efficacy iaitu murid yang boleh belajar daripada
kekalahan, mengambil inisiatif mencari punca kekalahan, memikir bagaimana
membaikinya demi menukarnya kepada kemenangan, dan bukan membimbangi atau
bersedih kerana kekalahan (Noriati,
Boon, Sharifah dan Zuraidah, 2010). Murid perlu belajar untuk melihat segala perkara secara
optimistik kerana untuk menentang emosi yang kurang sihat ini. Maka, murid-murid
yang mengalami gangguan emosi perlu mendapat perkhidmatan psikologi dan
kaunseling.

Tuntasnya, tidak dapat dinafikan bahawa
gangguan emosi wujud dalam kalangan guru dan murid akibat bebanan kerja atau
tugas, masalah peribadi dan sebagainya. Isu ini tidak boleh dipandang remeh
kerana tanpa komitmen sepenuhnya daripada pihak guru mahupun murid, aspirasi
negara untuk mencapai wawasan 2020 tidak akan kesampaian. Guru perlu sedar akan
peranan mereka dalam mengatasi isu stress atau gangguan emosi dalam diri mereka
dan menanganinya terlebih dahulu. Oleh yang demikian, seseorang guru pula perlu
sentiasa saling menerima antara satu sama lain dan menyediakan emosi pelajar.
Ini penting supaya semua pelajar melibatkan diri dalam setiap kegiatan keilmuan
yang diadakan di sekolah. Emosi pelajar perlu dikekal atau dipertingkatkan
dengan pengajaran guru lebih bersifat pembimbing di sisi.

Guru perlu memahami emosi pelajar kerana
perbezaan tingkah laku, sosial dan rohani dalam kalangan pelajar sememangnya
mempengaruhi ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Apabila
gangguan emosi di kalangan pelajar dapat dikawal serta dibendung ini akan
meningkatkan penumpuan pelajar tersebut ketika sesi pembelajaran sedang
berlangsung dan seterusnya pencapaian pelajar tersebut dalam aspek akademik,
sahsiah mahupun kokurikulum mencapai pada tahap yang memuaskan. Tiada hal yang
boleh dikatakan mustahil kerana ” Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Namun begitu, pihak sekolah dan ibu bapa juga haruslah berganding bahu bersama
para guru dalam usaha ini untuk menjayakannya. Bah kata pepatah Melayu,
“Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”.